Tembikai


Tembikai (nama botani: Citrullus Lanatus) atau dikenali dengan Timun Cina di Pantai Timur, Semangka merupakan pokok menjalar (memanjat dan melata) yang berasal dari selatan Afrika dalam famili Cucurbitaceae.

Penjelajah Afrika, David Livingstone, melaporkan bahawa terdapat banyak tembikai di padang pasir Kalahari, di mana ia tumbuh meliar dan dinamakan Tsamma.

Tumbuhan berbunga ini mengeluarkan buah aksesori yang dipanggil 'beri palsu'. Buah tembikai ini mempunyai kulit yang licin dan isi (selalunya merah) yang berair dan manis. Nama Citrillus vulgaris juga kadangkala digunakan untuk merujuk kepada buah ini (vulgaris bermakna biasa).

Buah tembikai mengandungi vitamin A, kukurbisitrin yang berkesan mengubati masalah ginjal dan salur kencing. Ia mengandungi sejenis gula dan garam yang berkesan melawaskan buang air kecil dan merawat masalah ginjal.



Rambutan

Rambutan (nama botani: Nephelium Lappaceum L.) adalah sejenis pokok buah saka. Rambutan berasal dari selatan China, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka. Ia kini banyak ditanam di Asia Tenggara dan sedikit di Sri Lanka, New Guinea, Australia, Amerika dan Afrika.

Pokok rambutan boleh ditanam melalui biji benih ataupun melalui cantuman. Biji benih rambutan adalah jenis rekalsitran. Biji benih rambutan boleh disemai di dalam kotak semaian dan hendaklah dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 20 x 25 cm apabila mencapai ketinggian lebih kurang 30 cm. Biji benih juga boleh disemai terus ke dalam polibeg. Rambutan juga biasanya dibiak dengan cara cantuman. Cantuman mata tunas sebaik-baiknya dilakukan apabila saiz pokok penanti sebesar batang pensil dan telah mengeluarkan daun baru.

Lubang penanaman berukuran 60 x 60 x 60 cm perlu disediakan dengan jarak 10 m dalam sistem penanaman tiga atau empat segi sama. Tanah atas yang dicampur dengan 10 -15 kg baja organik dan 0.5 kg baja fosfat hendaklah digunakan sebagai baja asas.

Tempoh di permulaan musim hujan adalah paling sesuai untuk memulakan kerja penanaman di ladang. Anak pokok yang baru ditanam hendaklah dilindung dengan struktur pelindung seperti pelepah daun kelapa. Penyungkupan adalah digalakkan bagi tujuan memulihara kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pemangkasan hendaklah dilakukan bagi menyelenggarakan keutuhan pokok dan membentuk kanopi serta meningkatkan pengeluaran buah. Pemangkasan secara sistem buka tengah hendaklah dilaksanakan dengan menyingkirkan cabang atau tunas-tunas air daripada pokok. Bahagian dahan yang dicantas hendaklah segera dirawat dengan bahan perawat pokok ('tree dressing').

Merumpai boleh dilakukan secara manual, kimia atau mekanikal. Pengawalan rumpai secara mekanikal dengan menggunakan traktor boleh menjimatkan tenaga pekerja. Penyemburan racun kimia untuk lalang dan rumpai lain bolehlah dilakukan dengan menggunakan glyphosate atau paraquat.

Pembajaan boleh dilakukan secara tabur rata atau ditanam dalam bentuk poket di sekeliling pokok pada hujung kanopi. Pembajaan yang seimbang dan tetap akan menjamin pertumbuhan sihat dan penghasilan tinggi di peringkat kematangan pokok.

Tanaman rambutan umumnya bebas daripada perosak dan penyakit utama. Penyakit kulapuk walaupun tidak serius tetapi kadang-kadang boleh menyerang bahagian dahan dan ranting. Cara kawalan penyakit ini ialah dengan semburan racun kulat Benomyl.

Pokok rambutan boleh mengeluarkan hasil selewat-lewatnya tiga tahun selepas ditanam ke ladang. Buah rambutan mengambil masa 90-120 hari untuk matang. Perubahan warna daripada hijau kepada kuning atau merah merupakan petunjuk bahawa buah boleh dituai. Bergantung kepada klon buah rambutan, hasil semusim ialah di antara 80 – 200 kg/sepokok. Buah-buah yang dituai hendaklah dimasukkan ke dalam bakul dan dielakkan daripada dipadatkan antara satu sama lain. Penyimpanan buah yang padat akan menyebabkan buah khususnya bahagian bulu-bulu lebih cepat rosak dan berwarna kehitaman.


Pulasan

Buah Pulasan atau nama sainsnya Nephelium mutabile adalah sejenis buah yang menyerupai bentuk dan rasa seperti buah rambutan. Tetapi biji buah pulasan adalah lebih keras, dan isinya agak kering dan kasar berbanding buah rambutan.

Buah pulasan diselitupi bulu yang lebih keras berbanding rambutan. Di Filipina ia dikenali sebagai bulala. Buah Pulasan dimakan begitu sahaja, ia sesedap rambutan dan laici, tetapi amat jarang dijumpai diluar Asia Tenggara.

Pokok Pulasan agak menarik dan sering ditanam sebagai pokok hiasan. Ia mencapai ketinggian 10-15 m; mempunyai batang yang halus 30-40 cm; dan dahan yang berbulu keperangan semasa muda. Mempunyai daun berselang, pinnate atau pinnate-ganjil, dengan sepanjang 17-45 cm, mempunyai 2 hingga 5 pasang daun kecil bersetentangan atau hampir bersetentangan, bujur atau menirus (oblong-or elliptic-lanceolate), sepanjang 6.25-17.5 cm dan sehingga 5 cm lebar; agak beralun, hijau gelap dan hampir tidak berkilat pada permukaan atas; pucat, agak kebiruan, dengan bulu halus pendek jarang di bahagian bawah. Mempunyai bunga yang agak kecil, tanpa kelopak dengan 4-5 sepal berambut, secara tunggal atau bergugus pada hujung dahan utama atau dahan kecil, dipenuhi bulu halus kuning atau keperangan.


Plum

Pokok plum ialah pokok berbuah pepauh dalam genus Prunus, subgenus Prunus. Subgenus ini dibezakan daripada subgenus lain (peach, ceri, dsb.) kerana pucuknya ada tunas terminal dan tunas sisinya tidakberkelompok, bunga-bunganya dikelompok 1-5 kuntum bersama pada batang pendek, dan buahnya beralur.

Buah plum mengandungi khasiat yang tinggi. Buah ini mengandungi sejenis bahan yang dikenal pasti sebagai diphenylisation yang bertindak sebagai julap. Bahan ini bukan sahaja mencuci perut, malahan juga mengatasi masalah sembelit. Di samping itu, ia juga sesuai diamalkan oleh mereka yang mengalami masalah kolesterol kerana diphenylisation yang membantu menurunkan paras serum dalam darah. Buah ini mengandungi serat ,iaitu salah satu daripada zat-zat makanan penting yang diperlukan dalam pemakanan harian untuk menjaga kesihatan.

Buah ini juga merupakan penawar bagi mengubati penyakit gastritis akibat inflamasi pada lapisan mukus dalam perut akibat pengambilan terlalu banyak makanan berempah, arak dan ubat-ubat aspirin.

Pisang


Pisang (nama botani: Musa spp.) merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili Musaceae. Pisang mempunyai buah yang sedap dan lazat serta mudah ditanam. Di Malaysia, kultivar seperti pisang mas, berangan, cavendish dan rastali ditanam untuk dimakan segar. Kultivar seperti pisang nangka, raja, lang, relong, tanduk, nipah dan pisang awak pula sesuai untuk dimasak atau diproses sebagai makanan ringan. Pisang yang pada mulanya merupakan sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini telah dikomersialkan.

Kebanyakan pisang yang dimakan hari ini merupakan keturunan daripada Musa acuminata dan Musa balbisiana. Genom yang disumbangkan Musa acuminata diberi simbol A, manakala genom sumbangan Musa balbisiana diberi simbol B. Persilangan alamai kedua jenis spesies ini menyebabkan pelbagai jenis subspesies pisang. Pengaruh genom B terutama terlihat pada kandungan tepung pada buah yang lebih tinggi. Secara umum, genom A menyumbang ke arah buah makan (pisang), sementara genom B ke arah buah pisang olah/masak (plantain). Hibrid M. acuminata dengan M. balbisiana ini dikenal sebagai M. ×paradisiaca.

Mengikuti anjuran Simmonds dan Shepherd yang karyanya diterbitkan pada tahun 1955, pengelasan pisang kultivar sekarang menggunakan nama-nama gabungan genom ini sebagai nama kelompok kultivar. Sebagai contoh, untuk pisang serendah, disebut sebagai Musa acuminata (Kelompok AAA) subkelompok 'Dwarf Cavendish'. Di bawah kelompok masih dimungkinkan pembagian dalam subkelompok. Lihat rencana Musa untuk pembahasan lebih mendalam.

Menurut kajian tempatan yang dilakukan, 100 gram pisang menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga.

Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa, dan glukosa. Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.

Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit. Wah! Hebatnya pisang yang Allah rezekikan kepada manusia. Tidak hairanlah pisang amat popular di kalangan atlet kerana ia membekalkan tenaga yang cukup semasa mereka beraksi dalam apa-apa pertandingan sukan.

Selain itu dalam perubatan traditional, jantung pisang dianggap elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa.

Bagi kaum Melayu di Malaysia, pisang mempunyai pelbagai kegunaan selain daripada dimakan buahnya. Di antara kegunaan pisang adalah batangnya boleh dibuat rakit.

Daun pisang pula biasanya digunakan sebagai alas makanan kerana ia menghasilkan bau yang harum apabila terkena makanan yang panas. Daun pisang boleh digunakan sebagai pelindung hujan, pembalut kuih, dan pembalut masakan seperti ikan bakar atau kuih lepat.

Batang pisang pula boleh digunakan untuk membuat rakit. Selain itu batang pisang mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Buah pisang boleh dimakan masak begitu sahaja atau diambil semasa muda untuk dimasak sebagai lauk, digoreng, dibuat sira, dibuat pengat, dan dijadikan kerepek. Selain buah pisang, jantung pisang juga boleh dibuat sebagai ulam selepas dicelur. Pisang merupakan buah yang paling digemari penduduk seluruh dunia.

Nangka

Nangka merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Nama botaninya Artocarpus heterophyuus Lam.

Pokoknya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Nangka banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Tumbuhan ini berasal dari India dan Asia Tenggara.

Antara tumbuhan dalam famili nangka ialah cempedak dan breadfruit.

Nangka ditanam melalui biji, cantuman atau kultur tisu.

Buah yang masak dimakan mentah atau dibuat jem, jeli, acar, dodol, pengat atau ditinkan. Isi nangka muda boleh dimasak gulai lemak, kari, kerabu atau direbus sebagai ulam.

Biji nangka boleh direbus dan dimakan atau dihancurkan menjadi tepung yang boleh dicampur dalam air untuk diminum bagi mengubat penyakit kelebihan hempedu. Bijinya juga dipanggang dan dimakan sebagai tonik kelamin.

Nanas

Nanas (nama saintifik: Ananas comosus) ialah sejenis tumbuhan tropikal. Ia dalah tumbuhan asli berasal dari Brazil, Bolivia, dan Paraguay. Tumbuhan ini berada dalam kumpulan bromeliad (Famili Bromeliaceae), tumbuhan yang rendah saka bak herba (herbaceous perennial) dengan 30 atau lebih daun yang panjang, tajam mengelilingi batang yang tebal. Buahnya dikenali sebagai pineapple dalam bahasa Inggeris kerana bentuknya yang seperti pokok kon pain. Perkataan asal orang Tupi untuk buah ini ialah anana, yang bermakna "buah yang sangat baik".

Nanas ditanam daripada penunasan bahagian atas buah, anak pada pangkal pokok induk atau pangkal buah dan kultur tisu yang dijadikan benih. Burung Madu (Hummingbird) merupakan pendebunga biasa.

Kadar pertumbuhan nanas bergantung kepada kelembapan tanah dan pokoknya selalunya tumbuh setinggi 50-150 cm. Tanah yang terlalu kering boleh merencatkan pertumbuhan nanas sementara tanah yang terlalu basah boleh menyebabkan jangkitan kulat dan akar dan pangkal pokok yang busuk. Oleh itu, pengawalan dan pengurusan air dan rumapi penting untuk menjamin pertumbuhan yang baik.

Penghasilan komersil nanas boleh didapati di Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan, Brazil, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Mexico, Puerto Rico dan Taipei.

Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengadungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan.

Buah nanas dimakan atau dibuat jus minuman untuk mencuci tubuh, melawaskan buang air kecil, merangsang penghadaman, sakit kerongkong, masalah hati dan demam kuning. Air nanas muda sesuai digunakan untuk rawatan pelbagai penyakit paru-paru dan membunuh cacing dalam perut. Nanas bagaimanapun tidak sesuai untuk ibu yang mengandung.

Nanas dipercayai mampu boleh merawat barah. Dua molekul daripada nanas menunjukkan hasil yang baik bagi melawan pertumbuhan barah. Salah satu molekul yang dikenali sebagai CCS menghalang protin yang dikenali sebagai Ras dan satu lagi yang dikenali sebagai CCZ mengukuhkan sistem imuniti badan pesakit bagi melawan sel barah. Buah ini mempunyai kandungan vitamin A, B, dan C yang tinggi.

Buah dan pokok nanas boleh dijadikan sumber komersial asid organik seperti asid askorbik, asid malik dan asid sitrik. Batang dan buahnya pula boleh digunakan untuk melembutkan daging. Serabut nanas pula yang diperoleh dari daun nanas boleh dibuat kain yang berkualiti selalunya boleh didapati di Filipina dan Taipei.

Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat atasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Amalan minum jus nanas, juga berkesan untuk atasi masalah kencing tidak lawas. Enzim yang terdapar pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta hapuskan fibrin yang boleh bawa sakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid serta berkesan dalam mengatasi masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan tubuh badan.

Mata Kucing


Pokok Mata Kucing merupakan sejenis subspesies pokok Longan[1][2]. Pokok ini dikenali sedemikian kerana rupa dan saiz buahnya yang seperti mata kucing. Buah mata kucing kecil sedikit dari buah longan.

Setiap pokok Mata Kucing mampu mengeluarkan 2,000 hingga 2,500 biji buah setiap kali musim berbuah. Di Malaysia ia banyak ditanam di 20 hektar tanah di Kampung Lasah.

Terdapat beberapa jenis (sub spesies) Mata Kucing iaitu:
  • Mata Kucing Sau
  • Mata Kucing Isau
  • Mata Kucing Kakus
Buah Mata Kucing mempunyai kandungan antioksidan ini juga sesuai bagi wanita hamil dan bijinya dikatakan boleh digunakan untuk mengubati gigitan ular.

Manggis


Manggis (Garcinia mangostana) adalah tumbuhan tropika malar hijau dan dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Pokok manggis boleh tumbuh daripada 7 hingga 25 meter dan menghasilkan buah berwarna ungu pekat yang boleh dimakan. Buah manggis dikenali sebagai "ratu segala buah" sementara buah durian (Durio spp.) dikenali sebagai "raja segala buah".

Terdapat juga spesis/subspesis lain seperti berikut: Garcinia mangostana, Garcinia pedunculata, Roxburgh, Garcinia Kydia, Roxburgh, Garcinia indica, Choisy (Garcinia purpurea), Roxburgh; Brindonia indica dan DuPetit-Thouars.

Manggis antara tumbuhan yang lambat tumbuh dan tumbuhan tropika. Ia sensitif dan tidak mampu hidup pada suhu di bawah 40F atau lebih dari 100F, biji benih mati pada 45F.

Biji benih manggis mempunyai tempoh hayat yang pendek dan perlu ditanam dengan segera. Ia hanya tahan antara 1-5 hari dan perlu ditanam serta merta selepas dikeluarkan dari buahnya. Percambahan memakan masa antara 2-3 minggu. Anak pokok akan menghasilkan akat tunjang yang panjang yang penting bagi daya hidup pokok, oleh itu pemindahan anak pokok perlu dilakukan dengan berhati-hati agar ia tidak merosakkan akar tunjang muda tersebut. Bentuk pembiakan lain sukar hidup.

Pokok manggis akan berbuah 6-12 tahun selepas ditanam dari biji benih. Buah manggis biasanya dimakan segar kerana rasanya yang lazat. Buah manggis segar boleh ditinkan, tetapi rasanya jauh kurang menarik berbanding buah yang segar.

Manggis ditanam di semenanjung Malaysia dan kawasan sekitar ASEAN. Ia ditanam secara perdagangan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kini ia juga ditanam di Hawaii dan Amerika Syarikat. Manggis (Garcinia mangostana) juga pernah ditanam di taman Duke Northumberland pada 1855, dan telah berbunga dan berbuah (lihat lakaran dalam Bot. Mag. t., 1847).

Pokok manggis tumbuh setinggi 5 meter (15 kaki). Pokok manggis biasanya berbuah selepas tempoh hujan lebat. Pokok yang matang mampu berbuah antara 100 hingga 3,000 biji buah.

Pokok manggis juga amat sensifif kepada jenis tanah dan kealkalian tanah. Pokok manggis tidak tahan kawasan tanah masin, atau tanah berpasir. Manggis tumbuh di kawasan lembapan tinggi dengan kadar hujan 100" setahun. Pokok manggis boleh ditanam berhampiran sungai, kolam atau kawasan berair di mana sistem akarnya kekal lembab sepanjang tahun.

Buah manggis terkenal kerana sedap dan enak dimakan mentah. Buah manggis mempunyai kulit tebal yang tidak boleh dimakan dan mempunyai isi yang putih dan manis. Kulit manggis mempunyai pewarna/getah yang sukar hilang sekiranya terkena baju.

Buah manggis mempunyai kulit tebal yang tidak boleh dimakan dan mempunyai isi yang putih dan manis. Kulit manggis mempunyai pewarna/getah yang sukar hilang sekiranya terkena baju.

Kulit manggis mempunya tanin, resin, dan crystallizable mangostine (C20H22O5., membentuk sisik kuning keemasan, tanpa rasa, cair pada 190° C. (374° F.), mudah larut dalam alkohol atau ether, tidak larut dalam air. Sulingan asas lead acetate boleh dihasilkan dari larutan alkoholnya. Pelarutannya dalam alkali mengurangkan larutan emas dan perak. Buah manggis mengandungi asid malic menjadikan isinya berasid. Kandungan getah yang terhasil dari pokoknya telah disiasat pada 1858, oleh N. Reitler di makmal Wittstein (Vierteljahresschr. f. prakt. Pharm., Vol. VII, p. 170), dan didapati mengandungi 88 peratus resin, larut dalam alkohol atau ether. Penggunaan amonia memisahkannya kepada bahagian resin larut dan tidak larut. Bagi spesies Garcinia purpurea, terdapat Kokum butter dalam biji benihnya sehingga 30 peratus, dan kebanyakannya terdiri dari tristearin dan oleic glycerides dan asid myristic (Jahresb. der Pharm., 1896, p. 71).

Kulit buah manggis agak keras dan dengan garispusat 4-6 cm. Buah manggis terdiri daripada isi warna putih yang berukur garispusat 3-5 cm. Bergantung kepada saiz dan masak, ia mungkin berbiji.

Rasa manggis boleh dibandingkan dengan strawberi putik dengan rasa-rasa manis limau. Buah manggis jarang dijual di negara Barat kecuali di kedai runcit Asia. Kulit manggis menghasilkan warna merah, dan amat sukar ditanggalkan.

Manggis dibuka dengan mengopek bukannya dipotong. Buah manggis dipegang dengan kedua belah tangan, ditekan perlahan-lahan sehingga kulitnya terbelah. Selepas itu, ia mudah untuk membuka dan mengambil isinya.


Mangga

Mangga merupakan satu genus tumbuhan yang terdiri daripada 35 spesies pokok buah tropika dalam famili Anacardiaceae. Tiada orang yang tahu dengan tepat tentang tempat asalnya, tetapi kebanyakan orang mempercayai bahawa pokok ini berasal dari benua Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk India Timur, Myanmar, dan Bangladesh, selepas rekod-rekod fosil yang wujud sejak 25 hingga 30 juta tahun dahulu telah ditemui di sana.

Terdapat dua keturunan mangga, satu dari India, dan satu lagi dari Filipina dan Asia Tenggara:
  • Pokok-pokok keturunan India tidak tahan kelembapan, dan mempunyai tumbuhan baru berwarna merah terang yang tidak dapat menahan kulapuk. Pokok-pokok ini menghasilkan buah monoembrio berwarna kemerah-merahan yang mempunyai bentuk biasa.
  • Pokok-pokok keturunan Asia Tenggara dapat menahan kelembapan yang berterlaluan, dan mempunyai tumbuhan baru berwarna hijau pucat atau merah yang dapat menahan kulapak. Buah poliembrionya berwarna hijau pucat dan mempunyai bentuk ginjal panjang.
Rujukan kepada buah mangga sebagai "makanan dewa-dewi" boleh didapati dalam kitab-kitab Veda Hindu. Nama buah ini datangnya daripada perkataan Tamil, mangaai, atau perkataan Malayalam, manga, dan dipopularkan oleh orang-orang Portugis selepas penjelajahan India mereka. Oleh itu, perkataan Portugis untuk buah mangga ialah 'manga'.

Pokok Buah Mangga adalah pokok besar yang mencapai 35-40 meter (115-131 kaki) tingginya, dengan jejari silasinya sebanyak 10 meter (33 kaki). Ciri-ciri fizikalnya adalah seperti berikut:
  • Daun: Malar hijau, berselang-seli, dan mempunyai bentuk mudah, dengan panjangnya sebanyak 15-35 sentimeter dan lebarnya 6-16 sentimeter. Ketika muda, warnanya jambu merah-jingga, tetapi berubah dengan cepatnya menjadi merah tua berkilat, dan kemudiannya hijau tua ketika matang.
  • Bunga: Berbentuk bulir hujung, dengan panjangnya sebanyak 1-040 sentimeter. Saiz setiap bunga kecil sahaja dan berwarna putih, dengan lima kelopak sehingga 5-10 milimeter panjangnya. Bau bunga ini sedikit harum seakan-akan bau bunga lili. Selepas kelopak bunga luruh, buahnya memakan masa 3-6 bulan untuk masak.
  • Buah: Merupakan pepauh. Apabila masak, buah ini terjuntai-juntai dari dahan dengan tangkai yang panjang. Saiznya berbeza-beza antara 10-25 sentimeter panjangnya, dan 7-12 sentimeter diameternya. Beratnya sehingga 2.5 kilogram. Warna buah yang masak berbeza-beza antara warna kuning, jingga, atau merah pada sebelah yang menghadapi matahari, dan warna kuning pada sebelah yang teduh. Warna hijau biasanya menunjukkan bahawa buah itu masih belum masak, tetapi ini bergantung kepada kultivarnya. Apabila masak, buah ini memberi bau macam damar yang sedikit wangi.
  • Biji: Satu biji tunggal yang leper, dan berbentuk empat segi panjang, dengan saiz 4-7 sentimeter panjang, 3-4 sentimeter lebar, dan 1 sentimeter tebal. Bergantung kepada kultivarnya, biji ini berserabut atau licin pada permukaannya. Tebal kulit biji sebanyak 1-2 milimeter dan di bawah kulit ini, terdapat satu lapisan nipis bak kertas yang melitupi biji tersebut.

Mangga kini ditanam dengan meluas sebagai pokok buah di kawasan-kawasan tropika dan subtropika yang bebas daripada fros, yaitu di seluruh benua India, [[Amerika , Tengah serta Selatan, Caribbean, Afrika tengah serta selatan, Australia, dan Asia Tenggara. Pokok ini mudah ditanam, dan kini terdapat melebihi 1,000 kultivar yang berbeza-beza dari buah mangga turpentin (namanya berasal daripada rasa turpentinnya dan menurut Buku Panduan Makanan Oxford, sebilangan jenis benar-benar mengandungi bahan kimia ini) hingga ke huevos de toro testikel buah pelir]] kerbau"; namanya mendasarkan bentuk dan saiznya).

Buah mangga dikatakan merupakan buah segar yang paling banyak dimakan di seluruh dunia. Walaupun demikian, petani-petani buah mangga hanya menerima harga yang rendah untuk hasil mereka. Disebabkan ini, buah mangga telah menjadi satu barang 'perdagangan saksama' di sebilangan negara.

Mangga juga menyesuaikan diri dengan mudah dalam iklim-iklim tropika. Sesetengah hutan tanah pamah di Kepulauan Hawaii didominasi oleh pokok-pokok buah mangga yang dibawa masuk, dan pokok ini merupakan pokok buah yang biasa ditanam di kawasan belakang rumah di Florida Selatan (pokok ini tidak ditanam secara besar-besaran di Florida).

Isi buah mangga yang masak mengandungi lebih kurang 15% gula, sehingga 1% protein, dan agak banyak vitamin A, B dan C. Rasa buah ini amat manis, dengan sesetengah kultivar mempunyai rasa yang sedikit masam. Tekstur isi buah mangga amat berbeza-beza antara kultivar-kultivar yang berlainan; sesetengah buah mempunyai tekstur yang lembut dan benyek seolah-olah buah plum yang terlalu masak, sedangkan yang lain mempunyai isi yang lebih pejal serupa dengan tembikai wangi atau buah avokado. Isi buah sebilangan kultivar juga boleh mengandungi serabut. Buah mangga mengandungi banyak jus, dan rasa manis serta kandungan air yang tinggi menyebabkan buah ini amat menyegarkan ketika dimakan, walaupun agak leceh dan kotor.

Mangga tergolong dalam famili yang sama dengan pokok ivy beracun dan mengandungi urusyiol, walaupun tidak serupa banyak dengan ivy beracun. Sesetengah orang menghidap penyakit dermatitis ketika menyentuh sap atau kulit buah yang dikupas. Orang-orang yang mengalami tindak balas alergi selepas menyentuh buah mangga biasanya dapat menikmati buah ini jika orang lain mengupas kulit buah ini lebih dahulu. Daun-daun Buah Mangga adalah toksik terhadap lembu.

Buah mangga telah dikatakan melegakan usus-usus dan oleh itu, menyebabkan buah ini mudah dicernakan. Buah ini merupakan buah kebangsaan India dan Pakistan, dan dipercayai dapat membantu menghentikan perdarahan, mengukuhkan jantung, dan memanfaatkan otak. Buah mangga juga merupakan motif yang biasa dalam tekstil-tekstil India, dan dikenali sebagai corak Paisley.

Longan

Longan adalah sejenis pokok berbuah. Nama saintifiknya ialah Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae. Pokok longan berasal dari Asia Tenggara. Buah longan boleh dimakan, atau dijadikan ubatan dalam tradisi orang Cina.

Limau mandarin

Pokok limau mandarin ialah sejenis tumbuhan buah-buahan. Nama sainsnya termasuk Citrus reticulata dan Citrus suhuiensis Hort. Citrus suhuiensis Hort digelar "limau langkat" dan "limau madu" di Malaysia.

Limau bali

Limau bali atau juga dikenali sebagai limau tambun (bahasa Inggeris: Pomelo) merupakan sejenis limau besar yang banyak ditanam di sekitar Tambun, Perak.

Laici


Laici adalah sejenis pokok berbuah iklim sederhana yang berasal dari selatan China, selatan Indonesia dan timur Filipina. Nama sainsnya Litchi chinensis.

Jambu batu

Jambu batu merupakan buah-buahan tropika. Nama saintifik jambu batu adalah Psidium guajava, Linn dari keluarga "Myrtaceae". Jambu batu banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur.

Jambu batu dipercayai berasal dari kawasan antara Peru dan Mexico. Jambu batu tersebar ke merata kawasan tropika dan sub tropika. Di Malaysia kawasan penanaman secara komersil bermula pada pertengahan tahun 1980.

Jambu air

Jambu air atau nama saintifiknya Syzygium aqueum, merupakan tumbuhan dalam famili Myrtaceae dan tumbuhan asal di Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pokoknya malar hijau dan tumbuh di kawasan tropika. Ia sering ditanam manusia bagi mendapatkan buahnya yang boleh dimakan begitu sahaja atau dengan dicicah.

Durian


Durian merupakan tumbuhan dari genus Durio yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Ia banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani dan pasar sayur.

Durian adalah buah tropikal yang berasal dari Asia Tenggara. Warna buah berbeza dari hijau ke perang, dan mempunyai bentuk bujur sehingga bundar. Buah ini boleh membesar sehingga 30 cm (12 in) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya mempunyai berat antara satu hingga tiga kg (2 hingga 7 lb). Ciri-ciri durian adalah buah yang mempunyai kulit bersabut yang diselitupi dengan duri yang tajam, mencucuk, dan bau yang kuat dan unik yang terhasil dari isi di dalam, yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai berbau busuk. Bahagian buah boleh dimakan adalah isi yang kekuningan, yang menyelitupi biji benih.

Ramai orang menganggap durian sebagai buah yang sedap, ia dipanggil "raja buah" oleh penduduk tempatan. Sebahagian orang barat yang tidak tahan dengan baunya telah menggambarkan buah durian dengan gambaran seperti "makan kastard dalam tandas awam". Terdapat juga gambaran bau durian sebagai bau lori sampah yang baru sahaja melanggar skunk.

Pokok durian membesar sehingga ketinggian 50 meter dan buah durian boleh tergantung dari sebarang cabangnya. Pada kebiasaan, buah durian boleh mencapai berat 1 hingga 3 kilogram menjadikan ladang durian sebagai kawasan berbahaya pada musim durian. Sebiji durian jika jatuh di atas kepala seseorang mampu menyebabkan kecederaan teruk atau membawa kepada kematian. Pada kebiasaan, pokok durian boleh berbuah selepas 4-5 tahun.

Nama saintifik durian perdagangan adalah Durio zibethinus. Buah durian lain yang boleh dimakan kadangkala terdapat di pasaran tempatan di Asia Tenggara. Nama saintifik spesies lain adalah Durio kutejensis, Durio oxlevanus, Durio graveolens, dan Durio dulcis.

Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan "D" dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh, sebahagian klon popular adalah D24, D99, D158 dan D159 (ini adalah " Mon Thong " pelbagai). Oleh kerana durian (adalah tajuk pengkajian di sebahagian institut pertanian, jenis perdagangan diberikan D nombor untuk membezakan mereka dari "piawaian" jenis liar.

Durian berasal dari Brunei, Malaysia dan Indonesia, meskipun ia boleh membesar dalam sebarang cuaca yang serupa. Pusat pelbagai ekologi untuk durian adalah kepulauan Borneo. Thailand adalah pengeksport penting durian. Tempat yang lain di mana durian ditanam termasuk Mindanao di Filipina, Queensland di Australia, Kemboja, Laos, Vietnam, India dan Sri Lanka.

Di Filipina, pusat pengeluaran durian adalah di daerah Davao di kepulauan Mindanao. Kadayawan merupakan perayaan tahunan menonjolkan durian di Davao City.

Di dunia Barat, durian terdapat di pasar raya bagi memenuhi kehendak masyarakat Asia Timur.

Pendebungaan durian bergantung kepada kelawar, Eonycleris spelaed yang menghisap madu bunga durian. Pada waktu lain, kelawar ini menghisap madu pokok bakau Sonneratia dan petai.

Oleh kerana buah durian berbau busuk bagi sesetengah orang, durian adalah dilarang untuk dibawa di dalam beg sandang di atas pesawat milik sebahagian syarikat penerbangan, dari di bawa di atas sistem pengangkutan transit awam Singapura, atau menyimpan atau makan durian di kebanyakan hotel.

Bagi setiap mereka yang selalu memakan durian mempunyai cara tersendiri untuk memilih buah terbaik dari timbunan durian. Kebanyakan kaedah ini disampaikan secara berbisik dengan perlahan dan setiap pembeli mempercayai kaedah pemilihannya dapat memastikan pemilihan buah terbaik. Pada masa lalu, kepakaran ini adalah penting. Durian merupakan buah bermusim yang dahulunya dituai sekali setahun. Pada masa kini, durian dituai sekitar dua kali setahun,\ dengan itu bekalan durian meningkat. Disebabkan peningkatan bekalan, penjual retail menjadi lebih bersaing dalam pendekatan mereka.

Memilih buah yang tepat amat penting apabila penjual menjual buah "seperti itu" tanpa dibuka. Masa kini adalah lumrah untuk penjual membuka buah dan menjual bahagian dalam boleh dimakan. Dengan sebegini, melihat bahagian boleh dimakan telah menjadikan teknik pemilihan kurang penting.

Pemilihan durian di ladang adalah mudah. Buah dari pohon yang sama secara umumnya mempunyai ciri-ciri yang serupa. Lazimnya buah di ladang masak dan jatuh dari pokok, jadi kemasakan buah bukanlah sesuatu pekara yang dibimbangkan.

Pemilihan buah dari luar satu ladang adalah lebih rumit. Berikut adalah sebahagian daripada kaedah pemilihan asas digunakan :

1. Lazimnya kesegaran dari satu buah boleh dipastikan dari tangkainya. Apabila buah telah dialih dari pokok, tangkainya mulai kering. Pekedai yang tidak bermoral akan cuba untuk membalut atau mengecat tangkai untuk menghalang pengesanan mudah. Pekedai yang kurang pintar mungkin juga membuang tangkai durian.
2. Kebanyakan peminat menggemari buah durian yang isinya kering dan matang. Satu jalan mudah untuk mengetahui samaada isi kering tanpa membuka buah adalah dengan menggoncangkan buah dan mengesan getaran kecil. Isi durian yang lembap melekat pada kulit buah. Isi durian yang kering cenderung untuk berpisah dari dinding buah. Seseorang mestilah berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri buah durian ketika melakukan perkara ini.
3. Durian mungkin diserang oleh perosak yang bertelur di dalam buah yang berkembang menjadi larva seperti ulat. Amat penting ketika membeli buah durian untuk mengelakkan membeli buah yang mempunyai sebarang lubang pada kulitnyanya kerana ini sering kali menunjukkan kemasukan "ulat" ke dalam buah.

Dicadangkan bahawa mereka yang baru belajar membeli durian agar mendapatkan durian yang telah siap dibuka kerana membuka buah durian agak sukar. Lazimnya ia mudah untuk mencari kedai yang memberi perkhidmatan membungkus isi. Kebanyakan penjual akan membuka buah sebagai satu perkhidmatan apabila pembeli telah bersetuju membelinya. Ini berlaku walaupun jika mereka tidak membungkusnya ke dalam bentuk bungkusan yang lain. Bagaimanapun, buah durian yang dibuka perlu dimakan di dalam tempoh waktu beberapa jam sahaja kerana buah yang dibuka cenderung untuk "berpeluh ". Apabila isi telah mula untuk menghasilkan air, buah durian kehilangan rasanya dan tidak banyak gunanya.

Buah durian boleh dibuka dengan belajar secara berhati-hati belajar dan dengan menggunakan peralatan yang biasa terdapat. Pemeriksaan kulit luar buah akan mendedahkan "garis" sepanjang permukaan di mana duri durian tersusun dalam baris lurus disebalik duri yang kelihatan bertaburan secara rawak pada permukaan lain. Umumnya terdapat sehingga 5 garis sepanjang permukaan buah durian.

Bahagian tangkai durian sepatutnya diterbalikkan dan garisan urat sepatutnya tertumpu satu titik sekitar di bawah buah. Dengan perlahan jolok satu objek tajam ke dalam titik ini. Lazimnya benda seperti penebuk, penjuru pemotong daging ataupun pemulas skru adalah berguna. Kemudian gelongsor objek tajam sepanjang "garia" yang telah dikenal pasti sebelum ini. Ia adalah satu idea yang baik untuk mempunyai satu sarung tangan atau satu kain buruk yang tebal untuk memegang buah durian dengan sebelah tangan, sementara sebelah yang lain melakukan tugasan ini. Satu buah durian yang berputar mungkin kelihatan seperti satu perkara yang kelakar, tetapi tertusuk duri durian adalah risiko yang benar.

Apabila kulit buah durian telah pun terbuka kepada dua bahagian, isi di dalam boleh dimakan. Bahagian ruas selebihnya boleh ditolak dengan menggunakan tapak tangan untuk menolak pada bingkai kulit durian pada bahagian yang bertentangan. Ia boleh membantu untuk mengoyakkan hujung kulit durian sedikit pada sepanjang pusat titik tengah sebelum melakukan ini.

Durian dianggap sebagai makanan panas dan sesiapa yang terlebih makan durian akan mendapati dirinya berpeluh dengan banyaknya sejurus selepas makan durian. Penawar tradisi ialah untuk minum air kosong dari pangsa kulit buah. Selain itu, musim durian lazimnya berlaku bersama dengan manggis yang dianggap sebagai mempunyai kesan penyejuk kepada badan. Oleh itu, kedua-dua buah-buahan ini lazimnya dimakan bersama.

Orang yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, secara tradisinya dinasihati mengelakkan durian kerana ia dipercayai mempunyai kandungan yang berkhasiat yang boleh memberi tekanan pada badan.

Sebahagian durian disebut-sebut sebagai tidak mempunyai duri, tetapi penelitian rapi menunjukkan bahawa duri durian ini telah dibuang ketika muda. Durian tanpa duri masih tiada dalam pasaran.


Ciku

Pokok Ciku merupakan tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Ciku banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ciku atau nama saintifiknya Achras sapota L adalah dari genus Achras dalam famili sapotaceae. Seperti buah betik, ciku juga dipercayai berasal dari Amerika Tropika. Ciku merupakan buah jenis klimaterik dan dikenali dengan pelbagai jenis nama mengikut tempat. Misalnya ciku dikenali sebagai ‘sapodilla’ di United Kingdom, ‘chico’ di Mexico dan ‘naspero’ di Venezuela.

Pokok ciku merupakan tumbuhan tropika hijau yang boleh mencapai ketinggian di antara 10-30 meter. Pokok ciku berbuah sepanjang tahun tetapi penghasilannya adalah tidak seragam. Buah ciku pada amnya berbentuk bujur dimana diameternya di antara 5-9 cm dan beratnya di antara 75-250 gm. Faktor-faktor utama penentu gred dan jenis sesuatu buah ciku ialah bentuk, saiz, warna isi dan citarasanya. Di Malaysia, varieti ciku yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang.

Buah ciku pada amnya mengambil masa di antara 6-8 bulan dari tempoh berbunga untuk mencapai kematangan. Walau bagaimanapun, ciku yang dipetik selepas 7 bulan berbunga adalah lebih besar dan manis.

Buah ciku juga boleh dibuat jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat sherbet dan kandi. Selain itu, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pektin, glukosa dan jeli. Di negara lain seperti Amerika Latin, pokok ciku digunakan untuk mengekstrak ‘chicle gum’.

Cempedak

Cempedak merupakan tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah Cempedak banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Nama saintifiknya ialah Artocarpus champeden. Pokok ini berasal dari kawasan Asia Tenggara iaitu dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pokok cempedak merupakan pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Ia mempunyai daun ringkas yang kebanyakkannya berbentuk elliptik. Bahagian bawah urat daun(midrib) biasanya dipenuhi dengan bulu-bulu halus. Pangkal daun berbentuk acute hingga obtus manakala hujung daun kebanyakkannya berbentuk kupsidat. Bahagian atas daun berwarna hijau tua manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda. Terdapat varieti cempedak dimana permukaan atas daun dikatakan sedikit malap manakala terdapat varieti dimana ia kelihatan berkilat. Pokok cempedak hampir menyerupai pokok nangka. Perbezaannya jelas pada hujung tangkai daun dimana pada cempedak terdapat bulu-bulu halus berwarna coklat dihujung tangkai daun manakala pada nangka tiada bulu halus ditemui.

Pokok cempedak adalah monoecious dimana bunga jantan dan bunga betina terdapat pada pokok yang sama. Namun begitu bunga jantan dan betina terdapat dalam jambak yang berlainan. Jambak bunga jantan dan betina pada awalnya terbentuk didalam seludang yang nipis berwarna hijau. Apabila jambak kian membesar, seludang akan mula memecah dan jambak bunga akan terbit keluar. Seludang akan bertukar warna menjadi perang dan kemudiannya akan gugur.

Pokok cempedak jarang ditanam secara meluas kerana ia mudah diserang oleh bakteria, iaitu Erwinia caratovora dimana dahan pokok yang diserang akan mengeluarkan getah berwarna kehitaman dan akhirnya dahan tersebut akan mati.

Pokok cempedak juga tidak sesuai ditanam dikawasan yang mudah ditengelami banjir atau tanah yang tinggi kelembapannya. Pokoknya mudah mati pada kawasan sedemikian. Bagi kawasan berpasir seperti tanah bris, pokoknya kurang menghasilkan buah seandainya pengairan dan pembajaan yang kerap tidak dijalankan.

Jambak bunga jantan dan bunga betina terdiri dari gugusan banyak bunga-bunga yang bergabung. Jambak bunga jantan selalunya tirus dan pendek dengan ukuran sehingga lebihkurang 1.5 sm x 5.5 sm dan terdapat pada hujung ranting serta juga pada dahan pokok. Manakala jambak bunga betina biasanya lebih gemuk dan besar serta hanya terdapat pada dahan pokok sahaja. Bunga jantan, setelah 4-5 hari mengorak akan reput menjadi kehitaman lalu kemudiannya gugur manakala bunga betina akan terus membesar membentuk buah.

Pokok cempedak menghasilkan buah secara bermusim dimana dalam setahun hanya terdapat satu musim utama. Ini berbedza dengan nangka dimana buahnya tidak bermusim. Buah cempedak dikenali sebagai 'multiple fruit' memandangkan ia terdiri daripada gugusan banyak bunga betina dalam satu jambak. Buah cempedak mengambil masa 100 hingga 120 hari untuk masak setelah bunganya mengorak.

Buah cempedak juga hampir sama dengan buah nangka dimana kulitnya dipenuhi dengan duri-duri halus yang pendek. Walaubagaiman pun buah cempedak adalah lebih kecil dari buah nangka.


Betik

Betik merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di ASEAN. Tumbuhan ini berasal dari Mexico Selatan, namun kini pokoknya ditanam di hampir semua negara beriklim tropika. Nama saintifiknya Carica papaya.

Pokok betik ini menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah betik banyak dijual di pasar-pasar, termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Pucuk betik sering dicelur untuk dijadikan ulam dan dimakan bersama sambal belacan.

Betik kaya dengan vitamin A (kulitnya) juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Nutrien -nutrien penting yang terkandung dalam betik, menjadikan tumbuhan ini mempunyai nilai-nilai perubatan yang tersendiri.

Buah betik yang ranum kaya dengan vitamin C, mempunyai kandungan serat yang tinggi. Betik juga boleh dimakan bagi melawaskan perut bagi sesiapa yang mempunyai masaalah sembelit.

Kandungan papain dalam daun juga amat berkesan untuk melembutkan daging. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana ia boleh menghasilkan toksik.

Betik dari varieti yang berlainan berbeza dari segi saiz, rupa bentuk dan rasa. Secara puratanya, ia berukuran antara 7- 60 cm dan boleh mencapai berat sehingga 9 kg. Berdasarkan kepada rupa bentuk dan saiz, betik yang popular di negara-negara ASEAN boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama terdiri dari varieti yang menghasilkan buah yang besar dan panjang bujur seperti Subang, Sitiawan dan Batu Arang. Buah daripada jenis ini mempunyai berat dalam lingkungan 1-3 kg tetepi kualiti buah dikatakan tidak begitu baik. Manakala kumpulan kedua terdiri dari varieti yang baru diperkenalkan seperti Solo dan Eksotika. Buah dari varieti ini adalah lebih kecil, berbentuk bulat, mempunyai mutu yang lebih tinggi dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Buah yang masak selalu dimakan segar sebagai pencuci mulut. Betik yang masak juga boleh dijadikan jem, jus ( untuk minuman ), perisa untuk aiskrim dan puding, halwa dan sos. Betik matang yang belum masak boleh juga dijeruk atau dimasak sebagai sayur. Betik juga mengeluarkan sejenis enzim yang dikenali sebagai enzim papain.Papain banyak digunakan dalam penyediaan makanan, khususnya untuk melembutkan daging dan penyediaan ‘chewing gum’. Walau bagaimanapun, di negara-negara ASEAN potensi industri papain masih belum diterokai sepenuhnya. Buat masa ini, pengeluar papain secara komersil hanya terdapat di Filipina.

Belimbing buluh

Pokok Belimbing Buluh (nama lain: Belimbing asam) ialah sejenis buah-buahan yang berasal daripada Malaysia dan Indonesia. Buah belimbing berbentuk kecil dan empat segi panjang, dan jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa, dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional, serta masakan seperti ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir, terutamanya ikan-ikan darat (ikan air tawar). Oleh itu, buah ini sering digunakan untuk masakan orang Melayu dan orang Cina.

Jus buah ini berkesan untuk melegakan penyakit darah tinggi, kencing manis dan pitam. Selain itu ia juga berkesan untuk melicinkan kulit muka serta mengatasi masalah jerawat dan merawat sakit gigi. Bagi mereka yang menghidapi batuk yang berterusan, adalah dinasihati merebus buah ini dan minum air rebusan ini setiap pagi dan petang.

Herba ubat

Ekstrak metanol daun pokok ini mempunyai sifat antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus serta sedikit kesan terhadap Bacillus subtilis. Bagaimanapun, ekstrak itu langsung tidak berkesan terhadap bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Klebsiella pneumonia. Sebaliknya, pokok ini peka terhadap bakteria-bakteria ini.

Belimbing besi

Pokok Belimbing Besi merupakan tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah ini banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Nama sainsnya Belimbing besi adalah Averrhoa carambola, Averrhoaceae atau Oxalidaceae. Dalam bahasa Inggeris, belimbing besi dikenali sebagai starfruit.

Belimbing besi merupakan tumbuhan asli Sri Lanka dan popular seluruh Asia Tenggara. Warna buah adalah hijau sehingga kuning keemasan dan apabila dipotong secara melintang menonjolkan bentuk bintang.